Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Kisah Para Rasul 16:9-29 in Malay (individual language)

Help us?

Kisah Para Rasul 16:9-29 in Kitab Suci Zabur dan Injil

9 Pada malam itu Paulus mendapat suatu penglihatan: seorang Makedonia berdiri di hadapannya sambil memohon, ‘Marilah ke Makedonia menolong kami.’
10 Setelah Paulus melihat penglihatan itu, kami pun hendak segera bertolak ke Makedonia, kerana pada hemat kami Allah memerintahkan kami menyampaikan berita baik kepada orang di situ.
11 Oleh yang demikian, kami belayar dari Troas terus ke Samotrake dan esoknya ke Neapolis;
12 dan dari situ ke Filipi, sebuah kota di Makedonia, yang termasuk jajahan Empayar Rom; kami tinggal beberapa hari di situ.
13 Pada hari Sabat kami pergi ke luar pintu gerbang kota ke tepi sungai, kerana di situ kami jangka ada tempat orang berdoa. Kami duduk bercakap dengan perempuan yang berhimpun di situ.
14 Salah seorang yang mendengar kami bercakap ialah seorang perempuan bernama Lidia, yang berjual kain ungu dan berasal dari Tiatira. Dia penyembah Allah. Tuhan membukakan hatinya lalu dia menerima segala yang dikatakan oleh Paulus.
15 Setelah dia dan seisi rumahnya diimadkan, dia berkata, ‘Jika pada hemat kamu, aku ini benar-benar percaya akan Junjungan, marilah tinggal di rumahku.’ Demikian dia bersungguh-sungguh mengajak kami ke rumahnya.
16 Di tempat orang berdoa itu juga ada seorang hamba perempuan yang dirasuk roh penilik; dia membawa keuntungan yang besar kepada tuan-tuannya dengan tilikannya itu.
17 Hamba perempuan itu mengikut Paulus dan kami sambil berseru-seru, ‘Orang ini hamba Allah Yang Maha Tinggi; mereka memberitahu kamu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!’
18 Demikianlah dilakukannya selama beberapa hari. Akhirnya Paulus gusar dan berpaling sambil berkata kepada roh itu, ‘Dengan nama Isa al-Masih aku perintahkan kamu keluar daripadanya!’ Roh itu pun keluar serta-merta.
19 Apabila tuan-tuan budak perempuan itu sedar bahawa sumber keuntungan mereka telah dihapuskan, mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret mereka ke hadapan pihak berkuasa di medan kota.
20 Mereka menghadapkan Paulus dan Silas kepada pegawai-pegawai kerajaan Rom dan berkata, ‘Mereka berdua ini membuat kacau di kota kita. Mereka orang Yahudi
21 dan mereka menyebarkan ajaran yang tidak patut kita terima atau ikut kerana kita ini orang Rom.’
22 Orang ramai pun bangkit menentang Paulus dan Silas. Pegawai-pegawai melucutkan pakaian kedua-duanya dan mengarahkan supaya mereka disebat.
23 Setelah disebat beberapa kali, kedua-duanya dimasukkan ke dalam penjara; ketua penjara itu diberi arahan mengawal mereka dengan ketat.
24 Oleh itu, ketua penjara memasukkan Paulus dan Silas ke bahagian penjara yang di dalam sekali serta membelenggu kaki mereka.
25 Namun demikian, pada waktu tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan memuji Allah. Sekalian yang terpenjara itu mendengar doa dan pujian mereka.
26 Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang besar, sehingga bergoncang asas penjara itu. Serta-merta semua pintu penjara terbuka dan belenggu semua orang yang terpenjara itu terlucut.
27 Apabila ketua penjara terjaga daripada tidur dan melihat semua pintu penjara itu terbuka, dia menghunus pedang hendak membunuh diri, kerana sangkanya semua orang yang terpenjara telah lepas lari.
28 Akan tetapi Paulus berseru dengan lantang, ‘Jangan apa-apakan dirimu, kami semua ada di sini.’
29 Ketua penjara meminta pelita lalu berlari masuk serta sujud dengan gementar di hadapan Paulus dan Silas.
Kisah Para Rasul 16 in Kitab Suci Zabur dan Injil