Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Kisah Para Rasul 16:19-40 in Malay (individual language)

Help us?

Kisah Para Rasul 16:19-40 in Kitab Suci Zabur dan Injil

19 Apabila tuan-tuan budak perempuan itu sedar bahawa sumber keuntungan mereka telah dihapuskan, mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret mereka ke hadapan pihak berkuasa di medan kota.
20 Mereka menghadapkan Paulus dan Silas kepada pegawai-pegawai kerajaan Rom dan berkata, ‘Mereka berdua ini membuat kacau di kota kita. Mereka orang Yahudi
21 dan mereka menyebarkan ajaran yang tidak patut kita terima atau ikut kerana kita ini orang Rom.’
22 Orang ramai pun bangkit menentang Paulus dan Silas. Pegawai-pegawai melucutkan pakaian kedua-duanya dan mengarahkan supaya mereka disebat.
23 Setelah disebat beberapa kali, kedua-duanya dimasukkan ke dalam penjara; ketua penjara itu diberi arahan mengawal mereka dengan ketat.
24 Oleh itu, ketua penjara memasukkan Paulus dan Silas ke bahagian penjara yang di dalam sekali serta membelenggu kaki mereka.
25 Namun demikian, pada waktu tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan memuji Allah. Sekalian yang terpenjara itu mendengar doa dan pujian mereka.
26 Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang besar, sehingga bergoncang asas penjara itu. Serta-merta semua pintu penjara terbuka dan belenggu semua orang yang terpenjara itu terlucut.
27 Apabila ketua penjara terjaga daripada tidur dan melihat semua pintu penjara itu terbuka, dia menghunus pedang hendak membunuh diri, kerana sangkanya semua orang yang terpenjara telah lepas lari.
28 Akan tetapi Paulus berseru dengan lantang, ‘Jangan apa-apakan dirimu, kami semua ada di sini.’
29 Ketua penjara meminta pelita lalu berlari masuk serta sujud dengan gementar di hadapan Paulus dan Silas.
30 Kemudian dia membawa mereka keluar lalu berkata, ‘Tuan-tuan, apakah yang patut aku lakukan supaya diselamatkan?’
31 Mereka menjawab, ‘Percayalah kepada Junjungan Isa, dan kamu akan diselamatkan, kamu dan seisi rumahmu.’
32 Mereka pun menyampaikan firman Tuhan kepadanya dan seisi rumahnya.
33 Pada malam itu juga ketua penjara membasuhkan luka-luka Paulus dan Silas. Dia dan seisi rumahnya diimadkan.
34 Selepas itu dia membawa Paulus dan Silas naik ke rumahnya serta menghidangkan makanan untuk mereka dengan amat sukacita kerana dia sekeluarga telah percaya kepada Allah.
35 Setelah hari siang, pegawai-pegawai kerajaan Rom menghantar anggota polis untuk menyampaikan perintah membebaskan Paulus dan Silas.
36 Ketua penjara memberitahu mereka tentang perintah itu, ‘Pegawai-pegawai menyuruh tuan-tuan dibebaskan. Oleh itu keluarlah dan pergilah dengan sejahtera.’
37 Akan tetapi Paulus berkata, ‘Mereka telah menyebat kami di hadapan orang ramai tanpa menyiasat, sungguhpun kami orang Rom. Mereka telah memasukkan kami ke dalam penjara. Sekarang mereka hendak membebaskan kami senyap-senyap? Tidak boleh begitu! Hendaklah mereka sendiri datang membawa kami keluar.’
38 Kata-kata Paulus itu disampaikan oleh anggota polis kepada pegawai-pegawai itu. Apabila mendengar bahawa Paulus dan Silas orang Rom, pegawai-pegawai itu pun takut
39 lalu datang memujuk mereka, membawa mereka keluar dan meminta mereka meninggalkan kota itu.
40 Paulus dan Silas keluar dari penjara lalu pergi ke rumah Lidia. Setelah bertemu dengan pengikut-pengikut Isa di situ dan menetapkan hati mereka, Paulus dan Silas pun meneruskan perjalanan.
Kisah Para Rasul 16 in Kitab Suci Zabur dan Injil