Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Kisah Para Rasul 10:4-25 in Malay (individual language)

Help us?

Kisah Para Rasul 10:4-25 in Kitab Suci Zabur dan Injil

4 Dia merenung dengan ketakutan sambil bertanya, ‘Ya tuan, ada apa tuan?’ Malaikat itu berkata, ‘Segala doa dan sedekahmu telah diredai Allah.
5 Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus.
6 Dia menumpang di rumah Simon penyamak kulit, di tepi laut.’
7 Setelah malaikat itu pergi, Kornelius memanggil dua orang hambanya dan seorang askar yang takut akan Allah dari kalangan orang yang bertugas melayaninya.
8 Dia menceritakan segala yang berlaku itu kepada mereka dan menyuruh mereka pergi ke Yope.
9 Esoknya, ketika mereka dalam perjalanan dan hampir sampai ke Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah untuk berdoa, kira-kira pukul dua belas tengah hari.
10 Kemudian dia berasa lapar dan hendak makan, tetapi sementara makanan sedang disediakan, dia diliputi kuasa ilahi.
11 Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain yang amat lebar, terikat keempat-empat penjurunya, diturunkan ke arahnya lalu ke bumi.
12 Di dalamnya ada segala jenis binatang, yang berkaki empat dan yang melata, juga burung-burung.
13 Dia terdengar suara berkata, ‘Hai Petrus, bangunlah, sembelih dan makanlah.’
14 Petrus berkata, ‘Ya Tuhan, jangan demikian, aku belum pernah makan barang yang haram atau najis.’
15 Suara itu berkata pula kepadanya, ‘Barang yang dihalalkan oleh Allah, jangan kauharamkan.’
16 Ini berulang tiga kali, kemudian kain itu terangkat naik ke langit.
17 Sedang Petrus bertanya-tanya apa agaknya erti penglihatan itu, orang yang disuruhkan oleh Kornelius itu telah bertanyakan rumah Simon.
18 Mereka berdiri di muka pintu sambil berseru bertanya sama ada Simon bergelar Petrus ada menumpang di situ.
19 Petrus masih lagi memikirkan penglihatannya itu. Roh Suci berkata kepadanya, ‘Ada tiga orang mencarimu.
20 Bangunlah, turun dan pergi bersama mereka tanpa ragu-ragu, kerana Aku yang menyuruh mereka datang.’
21 Petrus pun turun mendapatkan orang itu lalu berkata, ‘Aku inilah orang yang kamu cari itu; apa hajatmu datang ke mari?’
22 Mereka berkata, ‘Kornelius, seorang ketua tentera yang benar dan takut akan Allah serta disegani oleh seluruh bangsa Yahudi, telah menerima pesan Allah melalui malaikat yang suci bahawa dia hendaklah menjemput tuan datang ke rumahnya untuk mendengar apa yang akan tuan katakan.’
23 Petrus mengajak ketiga-tiga orang itu masuk dan menumpang bermalam di rumah itu. Esoknya dia bangun lalu pergi bersama mereka; beberapa orang saudara seiman di Yope turut serta.
24 Keesokan harinya mereka sampai di Kaisarea. Kornelius sedang menantikan kedatangan mereka, bersama semua kaum keluarga dan sahabat handai yang diajaknya berhimpun di situ.
25 Apabila Petrus masuk, Kornelius mendapatkannya lalu sujud menyembah di kakinya;
Kisah Para Rasul 10 in Kitab Suci Zabur dan Injil