Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Yahya - Yahya 7

Yahya 7:11-33

Help us?
Click on verse(s) to share them!
11Pada masa perayaan itu orang Yahudi mencari Isa. Mereka bertanya, ‘Di manakah Dia?’
12Orang ramai berbisik-bisik tentang-Nya. Ada yang berkata, ‘Dia seorang yang baik.’ Ada pula yang berkata, ‘Tidak! Dia membawa ajaran sesat!’
13Tetapi semuanya tidak berani bercakap secara terbuka tentang Isa, kerana takut akan orang Yahudi.
14Pada pertengahan masa perayaan itu, Isa masuk ke rumah ibadat lalu mengajar.
15Orang Yahudi tercengang mendengar kata-kata-Nya lalu berkata, ‘Bagaimanakah orang ini begitu berpengetahuan walaupun tidak dididik?’
16Lalu Isa menjawab, ‘Apa Kuajarkan bukanlah ajaran-Ku, tetapi ajaran Dia yang mengutus-Ku.
17Orang yang mahu melaksanakan kehendak Allah akan tahu sama ada ajaran ini datang daripada diri-Ku atau daripada Allah.
18Seseorang yang bercakap atas namanya sendiri mencari kemuliaan bagi dirinya. Sebaliknya, seseorang yang mencari kemuliaan bagi Dia yang mengutusnya, adalah jujur dan bersih daripada sebarang kepalsuan.
19Tidakkah Musa menyampaikan hukum Taurat kepadamu? Tetapi tidak seorang pun di antara kamu yang melaksanakan hukum Taurat itu. Mengapakah kamu hendak membunuh-Ku?’
20Orang ramai menjawab, ‘Kamu dirasuk roh iblis! Siapa pula yang hendak membunuh-Mu?’
21Isa berkata kepada mereka, ‘Aku melakukan satu mukjizat, lalu kamu semua berasa takjub.
22Musa telah memberimu peraturan bersunat. Oleh itu, pada hari Sabat pun kamu hendak menyunatkan anak lelakimu. (Sebenarnya peraturan bersunat itu bukanlah bermula daripada Musa, tetapi daripada nenek moyangmu sebelumnya.)
23Kiranya seorang anak lelaki boleh disunatkan pada hari Sabat kerana tidak mahu melanggar hukum Musa, mengapakah kamu marah kepada-Ku kerana menyembuhkan seluruh tubuh seseorang pada hari Sabat?
24Janganlah hakimi seseorang berdasarkan apa yang dilihat. Hakimilah dengan adil.’
25Sebilangan penduduk Baitulmaqdis berkata, ‘Bukankah orang ini yang dicari oleh mereka untuk dibunuh?’
26Lihatlah, Dia bercakap di hadapan orang ramai, tetapi mereka diam sahaja. Adakah para pemerintah itu benar-benar tahu bahawa Dia al-Masih?
27Orang ini, kita tahu tempat asal-Nya.’ Tetapi, apabila al-Masih datang, tiada siapa yang tahu akan tempat asal-Nya.’
28Ketika Isa mengajar di rumah ibadat, Dia berseru dengan suara lantang, ‘Kamu tentu mengenal siapa Aku dan di mana tempat asal-Ku. Aku datang bukanlah dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai, tetapi kamu tidak mengenal-Nya.
29Aku mengenal-Nya kerana Dialah yang mengutus-Ku dan Aku datang daripada-Nya.’
30Selepas itu, mereka cuba menangkap Isa. Tetapi tiada seorang pun memegang-Nya kerana saat-Nya belum sampai.
31Sebilangan besar orang ramai itu percaya kepada Isa. Mereka berkata, ‘Apabila al-Masih datang, adakah dia akan melakukan lebih banyak mukjizat daripada orang ini?’
32Apabila bisikan orang ramai didengar oleh orang Farisi, mereka dan para ketua imam pun menyuruh beberapa orang pengawal rumah ibadat menangkap Isa.
33Namun, Isa berkata, ‘Aku akan bersamamu sebentar sahaja. Selepas itu Aku akan pulang kepada Dia yang mengutus-Ku.

Read Yahya 7Yahya 7
Compare Yahya 7:11-33Yahya 7:11-33