Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Yahya - Yahya 6

Yahya 6:34-67

Help us?
Click on verse(s) to share them!
34Kemudian mereka berkata, ‘Junjungan, berilah kami roti itu selalu.’
35Isa berkata kepada mereka, ‘Akulah Roti Hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi.
36Telah Kukatakan kepadamu, bahawa kamu telah melihat-Ku, namun tidak percaya kepada-Ku.
37Semua yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak seorang pun yang datang kepada-Ku.
38Aku turun dari syurga bukanlah untuk melakukan kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku.
39Inilah kehendak Dia yang mengutus-Ku: Daripada semua yang diberi kepada-Ku, tiada seorang pun yang keciciran tetapi akan Kubangkitkan kesemuanya pada hari akhir.
40Demikianlah kehendak Bapa-Ku iaitu setiap orang yang melihat Putera-Nya dan percaya kepada-Nya akan mendapat hidup yang kekal, dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.’
41Orang Yahudi di situ mula merungut sesama sendiri menentang Isa kerana kata-katanya, ‘Akulah roti yang turun dari syurga.’
42Mereka berkata, ‘Bukankah Dia Isa, anak Yusuf, dan ibu bapa-Nya kita kenal? Bagaimana Dia boleh mengaku, “Aku turun dari syurga”?’
43Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Janganlah merungut sesama sendiri.
44Tiada seorang pun yang dapat datang kepada-Ku kecuali didorongkan oleh Bapa yang mengutus-Ku dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.
45Ada tersurat di dalam tulisan para nabi: “Semua manusia akan diajar oleh Allah.” Dengan demikian, seorang yang mendengar dan belajar daripada Bapa akan datang kepada-Ku.’
46Tidak seorang pun pernah melihat Bapa. Hanya Dia yang datang daripada Allah telah melihat Bapa.
47Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, orang yang percaya mendapat hidup yang kekal.
48Akulah roti hidup.
49Nenek moyangmu makan manna di gurun, tetapi mereka mati juga.
50Inilah roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini tidak akan mati.
51Akulah Roti Hidup yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup kekal. Roti yang akan Kuberikan untuk hidup manusia di dunia ini adalah tubuh-Ku.’
52Orang Yahudi yang mendengar kata-kata ini mula bertengkar sesama sendiri ‘Bagaimanakah mungkin orang ini memberikan tubuh-Nya untuk kita makan?’
53Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, jika kamu tidak makan tubuh Putera Insan dan minum darah-Nya, kamu tidak mempunyai hidup dalam dirimu.
54Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mendapat hidup yang kekal, maka Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.
55Tubuh-Ku inilah makanan yang sebenar. Darah-Ku inilah minuman yang sebenar.
56Apabila seorang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, maka dia tetap di dalam-Ku dan Aku di dalamnya.
57Seperti Bapa yang hidup mengutus Aku, dan Aku hidup kerana Bapa hidup. Demikianlah juga, orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku hidup.
58Inilah roti yang turun dari syurga, bukan seperti roti yang dimakan oleh nenek moyangmu, yang kemudiannya mati juga walaupun telah memakannya. Sebaliknya, sesiapa yang makan roti ini akan hidup kekal.’
59Demikianlah kata-kata Isa ketika mengajar di saumaah di Kapernaum.
60Antara para pengikut yang mendengar kata-kata-Nya itu, ramai yang berkata, ‘Ajaran ini terlalu susah difahami. Siapakah yang dapat menerimanya?’
61Isa tahu tanpa diberitahu akan rungutan para pengikut-Nya. Lalu Dia berkata kepada mereka, ‘Adakah perkara ini menyebabkan kamu enggan percaya?’
62Bagaimana nanti kalau kamu melihat Putera Insan naik semula ke tempat asal-Nya?
63Hanya Roh Suci memberi hidup. Tubuh tidak ada faedahnya. Apa yang Kukatakan kepadamu ini datang daripada Roh Suci dan memberi hidup.
64Sungguhpun begitu, sebilangan daripadamu tidak percaya.’ (Isa mengetahui dari mulanya siapa yang enggan percaya dan siapa yang akan mengkhianati-Nya.)
65Isa berkata lagi, ‘Maka itulah sebabnya Aku berkata kepadamu, tiada seorang pun dapat datang kepada-Ku kecuali dengan keredaan Allah.’
66Selepas itu, ramai pengikut Isa menjauhkan diri dan tidak lagi mengikut-Nya.
67Oleh yang demikian, Isa bertanya kepada pengikut-Nya yang dua belas itu, ‘Adakah kamu juga akan meninggalkan-Ku?’

Read Yahya 6Yahya 6
Compare Yahya 6:34-67Yahya 6:34-67