Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Lukas - Lukas 23

Lukas 23:31-49

Help us?
Click on verse(s) to share them!
31‘Jikalau perbuatan begini dilakukan mereka terhadap pokok kayu yang masih hijau, apatah lagi terhadap pokok yang kering?’
32Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan dibunuh bersama Isa.
33Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, ‘Tengkorak,’ mereka pun menyalib Isa dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya.
34Isa berkata, ‘Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan.’ Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi.
35Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara para pemimpin masyarakat mengejek-ngejek-Nya, ‘Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan diri-Nya sekarang jikalau Dia sesungguhnya al-Masih yang dipilih oleh Allah.’
36Askar-askar juga mengejek-ngejek Isa. Mereka mendekati-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya
37lalu berkata, ‘Jika Engkau Raja orang Yahudi, selamatkanlah Diri-Mu.’
38Pada sebelah atas kayu salib Isa tertulis kata-kata: ‘INILAH RAJA ORANG YAHUDI.’
39Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula menghina Isa. Dia berkata, ‘Bukankah Engkau al-Masih? Selamatkanlah Diri-Mu dan kami!’
40Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, ‘Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati.
41Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa.’
42Dia berkata kepada Isa, ‘Ya Isa, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.’
43Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.’
44Ketika itu kira-kira pukul dua belas tengah hari, kegelapan menyelubungi seluruh negeri itu sehingga pukul tiga petang kerana matahari gerhana.
45Tirai yang tergantung di dalam rumah ibadat pun koyak terbelah dua.
46Isa berseru dengan suara yang kuat, ‘Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!’ Setelah Isa berkata demikian, Dia pun wafat.
47Ketua tentera yang menyaksikan apa yang telah terjadi memuji Allah, ‘Sesungguhnya, orang ini orang yang benar.’
48Orang ramai yang telah berkumpul untuk menyaksikan peristiwa itu, pulang menebah dada mereka.
49Semua sahabat Isa, termasuk perempuan-perempuan yang telah mengikut Dia dari Galilea, berdiri dari jauh untuk menyaksikan segala perkara ini.

Read Lukas 23Lukas 23
Compare Lukas 23:31-49Lukas 23:31-49