Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Lukas - Lukas 22

Lukas 22:5-33

Help us?
Click on verse(s) to share them!
5Mereka gembira lalu berjanji memberikan wang kepadanya.
6Yudas pun bersetuju lalu dia mencari peluang yang baik untuk menyerahkan Isa kepada mereka tanpa diketahui orang ramai.
7Tibalah Perayaan Roti Tidak Beragi. Pada hari itu domba korban harus disembelih untuk jamuan Paska.
8Isa menyuruh Petrus dan Yahya, ‘Pergilah sediakan jamuan Paska untuk kita.’
9Mereka bertanya kepada Isa, ‘Di manakah Engkau hendak kami sediakan jamuan itu?’
10Isa menjawab, ‘Setibanya kamu ke dalam kota itu, seorang lelaki yang menjunjung sebuah buyung air akan bertemu dengan kamu. Ikutlah dia ke rumah yang dimasukinya
11lalu berkatalah kepada tuan rumah itu, “Guru menyuruh kami bertanya: Di manakah bilik tempat Aku hendak makan jamuan Paska bersama pengikut-pengikut-Ku?”
12Tuan rumah itu akan menunjukkan kepadamu sebuah bilik besar yang lengkap dengan perabot di tingkat atas. Di situlah kamu sediakan jamuan Paska.’
13Mereka pergi ke kota dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan oleh Isa, lalu mereka menyediakan jamuan Paska.
14Apabila tiba masanya, Isa pun duduk bersama pengikut-pengikut yang dua belas itu.
15Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Sebenarnya, Aku telah lama ingin sekali makan jamuan Paska ini bersama kamu sebelum Aku menderita.
16Aku berkata kepadamu bahawa Aku tidak akan makan jamuan ini lagi sehingga maksud sebenar Paska dinyatakan di dalam kerajaan Allah.’
17Setelah itu, Isa mengambil sebiji cawan minuman. Dia mengucap syukur lalu berkata, ‘Ambillah cawan ini dan bahagikan minumannya antara kamu.
18Aku berkata kepadamu bahawa mulai sekarang, Aku tidak akan minum air buah anggur lagi sehingga kerajaan Allah datang.’
19Lalu Isa mengambil roti kemudian mengucap syukur kepada Allah. Setelah itu Dia memecah-mecahkan roti itu lalu memberikannya kepada pengikut-pengikut-Nya, sambil berkata, ‘Inilah tubuh-Ku yang diberikan untukmu. Berbuatlah sedemikian demi mengingati-Ku.’
20Begitu juga setelah makan, Dia mengambil cawan minuman dan berkata, ‘Cawan ini ialah perjanjian baru yang dimateraikan dengan darah-Ku yang dicurahkan untukmu.
21Tengoklah! Orang yang mengkhianati Aku ada bersama-sama di meja ini.
22Putera Insan akan mati seperti yang ditetapkan, tetapi malangnya orang yang mengkhianati-Nya!’
23Mereka mula bertanya-tanya sesama sendiri siapakah di antara mereka yang akan berbuat demikian.
24Satu perselisihan timbul di kalangan pengikut itu tentang siapa antara mereka yang dianggap terbesar.
25Isa berkata kepada mereka, ‘Di dunia raja-raja berkuasa atas rakyat mereka, dan golongan pemerintah digelar pembawa kebajikan kepada rakyat.
26Tetapi kamu tidak sama seperti mereka. Orang yang terbesar antara kamu hendaklah menjadi seperti yang terkecil, dan ketua harus menjadi seperti hamba.
27Siapakah yang lebih besar – orang yang duduk makan atau hamba yang melayan? Bukankah orang yang duduk makan itu? Tetapi Aku ini antara kamu sebagai yang melayan.
28Kamu bersama Aku dalam segala penderitaan-Ku.
29Aku memberikan hak kepadamu untuk memerintah sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak itu kepada-Ku.
30Kamu akan makan dan minum di meja-Ku dalam kerajaan-Ku dan kamu akan duduk di atas takhta untuk menghakimi dua belas suku Israel.
31‘Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah meminta izin untuk menguji kamu semua seperti petani memisahkan gandum daripada sekam.
32Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkanlah saudara-saudaramu.’
33Petrus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, hamba sedia ke penjara dengan-Mu dan mati bersama-sama.’

Read Lukas 22Lukas 22
Compare Lukas 22:5-33Lukas 22:5-33