Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Lukas - Lukas 12

Lukas 12:2-31

Help us?
Click on verse(s) to share them!
2Tiada sesuatu pun yang tersembunyi yang tidak akan dinyatakan, dan tiada sesuatu rahsia pun yang tidak akan didedahkan.
3Apa sahaja yang kamu katakan secara rahsia akan didengar secara terang-terang, dan apa sahaja yang kamu bisikkan di dalam bilik tertutup akan diumumkan.
4‘Aku berkata kepadamu, hai sahabat-sahabat-Ku, janganlah kamu takut akan orang yang dapat membunuh tubuh sahaja dan kemudian tidak berkuasa lagi terhadapmu.
5Aku menyatakan siapa yang harus kamu takuti: Takutlah akan Dia yang setelah mengambil nyawamu, berkuasa pula membuangmu ke dalam neraka. Aku berkata kepadamu supaya takut akan Dia!
6Bukankah lima ekor burung pipit dijual orang dengan harga dua syiling sahaja? Namun tiada seekor pun dilupakan oleh Allah.
7Malahan segala rambut di kepalamu telah dihitung. Janganlah kamu takut; kamu lebih bernilai daripada banyak burung pipit itu.
8‘Aku berkata kepadamu bahawa tiap-tiap orang yang mengakui Aku di hadapan manusia akan diakui oleh Putera Insan di hadapan malaikat-malaikat Allah.
9Sesiapa yang tidak mengakui Aku di hadapan manusia tidak akan diakui oleh Putera Insan di hadapan malaikat-malaikat Allah.
10Sesiapa yang mengeluarkan kata-kata menentang Putera Insan akan diampuni. Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Suci tidak akan diampuni.
11‘Apabila orang membawa kamu untuk didakwa di majlis saumaah atau di hadapan gabenor atau pihak berkuasa, janganlah kamu khuatir bagaimana kamu harus membela diri atau apa yang harus kamu katakan,
12kerana pada waktu itu Roh Suci akan mengajar kamu apa yang harus kamu katakan.’
13Seorang daripada orang ramai itu berkata, ‘Tuan Guru, suruh abang aku membahagikan warisan denganku.’
14Isa menjawab, ‘Saudara, siapakah yang menjadikan Aku hakim atau pembahagi warisan kepada kamu?’
15Isa terus menambah, ‘Ingatlah baik-baik supaya menjaga diri daripada segala ketamakan kerana kehidupan manusia tidak bergantung pada harta kekayaan yang dimiliki.’
16Lalu Dia pun menceritakan kepada mereka satu ibarat: ‘Seorang kaya mempunyai tanah yang mengeluarkan hasil yang banyak.
17Dia berfikir dalam hatinya, “Apakah harus aku buat? Tiada lagi tempat untuk menyimpan hasil tanahku.”
18‘Dia berkata, “Baiklah aku berbuat begini. Aku akan meruntuhkan gudang-gudangku dan membina yang lebih besar. Di situlah aku akan menyimpan segala hasil dan harta bendaku.
19Aku akan berkata kepada diriku, engkau mempunyai harta yang banyak untuk keperluanmu selama bertahun-tahun. Nikmatilah hidup. Makan minum dan bersuka rialah.”
20‘Tetapi Allah berfirman kepadanya, “Engkau bodoh! Pada malam ini juga, nyawamu akan dituntut kembali daripadamu. Lalu harta benda yang telah kaukumpulkan itu akan menjadi hak siapa?”
21‘Demikianlah halnya orang yang menyimpan harta benda untuk dirinya tetapi tidak kaya pada pandangan Allah.’
22Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: ‘Sebab itulah Aku berkata kepadamu supaya jangan khuatir tentang makanan untuk hidupmu dan pakaian untuk tubuhmu.
23Hidupmu tidak hanya bergantung pada makanan, dan tubuhmu tidak hanya bergantung pada pakaian.
24Perhatikanlah burung gagak yang tidak menabur atau menuai, tidak mempunyai gudang atau rengkiang, tetapi Allah memberikan makanan kepadanya. Kamu lebih bernilai daripada burung-burung itu!
25Dapatkah sesiapa antaramu memanjangkan umur sedikit pun dengan menaruh khuatir?
26Jikalau kamu tidak dapat membuat perkara yang sekecil ini, mengapakah kamu khuatir tentang hal-hal yang lain?
27‘Perhatikanlah bunga bakung. Bunga ini tidak menenun. Tetapi Aku berkata kepadamu bahawa Sulaiman dengan segala kemuliaannya pun tidak berpakaian seindah bunga-bunga ini.
28Jikalau Allah menghiasi sedemikian rumput yang hari ini ada di padang tetapi esoknya dibakar, bukankah Dia apatah lagi akan memberikan pakaian kepada kamu! Alangkah lemahnya imanmu!
29Jadi, janganlah kamu utamakan makanan dan minuman serta janganlah bimbang hati.
30Orang yang tidak mengenal Allah mengutamakan perkara-perkara ini, tetapi Bapamu mengetahui kamu memerlukan semua ini.
31Sebaliknya, utamakanlah kerajaan Allah dan segala perkara ini akan diberikan-Nya kepadamu.

Read Lukas 12Lukas 12
Compare Lukas 12:2-31Lukas 12:2-31