Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Lukas - Lukas 12

Lukas 12:18-59

Help us?
Click on verse(s) to share them!
18‘Dia berkata, “Baiklah aku berbuat begini. Aku akan meruntuhkan gudang-gudangku dan membina yang lebih besar. Di situlah aku akan menyimpan segala hasil dan harta bendaku.
19Aku akan berkata kepada diriku, engkau mempunyai harta yang banyak untuk keperluanmu selama bertahun-tahun. Nikmatilah hidup. Makan minum dan bersuka rialah.”
20‘Tetapi Allah berfirman kepadanya, “Engkau bodoh! Pada malam ini juga, nyawamu akan dituntut kembali daripadamu. Lalu harta benda yang telah kaukumpulkan itu akan menjadi hak siapa?”
21‘Demikianlah halnya orang yang menyimpan harta benda untuk dirinya tetapi tidak kaya pada pandangan Allah.’
22Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: ‘Sebab itulah Aku berkata kepadamu supaya jangan khuatir tentang makanan untuk hidupmu dan pakaian untuk tubuhmu.
23Hidupmu tidak hanya bergantung pada makanan, dan tubuhmu tidak hanya bergantung pada pakaian.
24Perhatikanlah burung gagak yang tidak menabur atau menuai, tidak mempunyai gudang atau rengkiang, tetapi Allah memberikan makanan kepadanya. Kamu lebih bernilai daripada burung-burung itu!
25Dapatkah sesiapa antaramu memanjangkan umur sedikit pun dengan menaruh khuatir?
26Jikalau kamu tidak dapat membuat perkara yang sekecil ini, mengapakah kamu khuatir tentang hal-hal yang lain?
27‘Perhatikanlah bunga bakung. Bunga ini tidak menenun. Tetapi Aku berkata kepadamu bahawa Sulaiman dengan segala kemuliaannya pun tidak berpakaian seindah bunga-bunga ini.
28Jikalau Allah menghiasi sedemikian rumput yang hari ini ada di padang tetapi esoknya dibakar, bukankah Dia apatah lagi akan memberikan pakaian kepada kamu! Alangkah lemahnya imanmu!
29Jadi, janganlah kamu utamakan makanan dan minuman serta janganlah bimbang hati.
30Orang yang tidak mengenal Allah mengutamakan perkara-perkara ini, tetapi Bapamu mengetahui kamu memerlukan semua ini.
31Sebaliknya, utamakanlah kerajaan Allah dan segala perkara ini akan diberikan-Nya kepadamu.
32‘Janganlah takut, hai golongan kecil sahabat Aku, kerana Bapamu berkenan hendak memberikan kerajaan-Nya kepadamu.
33Juallah hartamu dan berikanlah wang itu kepada orang miskin. Sediakanlah bagi dirimu dompet yang tidak akan usang dan simpanlah kekayaanmu di syurga yang tidak dapat dimasuki oleh pencuri atau dirosakkan oleh gegat.
34Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu.
35‘Kamu hendaklah bersiap sedia dengan pelitamu terpasang.
36Kamu hendaklah seperti orang yang menantikan kepulangan tuan mereka dari jamuan perkahwinan. Apabila tuan mereka pulang dan mengetuk pintu, mereka akan membuka pintu itu dengan serta-merta.
37Diberkatilah hamba-hamba yang didapati berjaga-jaga oleh tuan mereka ketika dia pulang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa tuan itu akan menyuruh mereka bertelekan di meja dan dia sendiri akan melayani mereka.
38Diberkatilah hamba-hamba itu jikalau tuan itu pulang baik pada tengah malam ataupun sebelum fajar menyingsing dan mendapati mereka bersiap sedia.
39Tetapi ketahuilah kamu bahawa sekiranya tuan rumah mengetahui masa pencuri akan datang, dia tidak akan membiarkan rumahnya dipecah masuk.
40Oleh itu, kamu hendaklah bersedia kerana Putera Insan akan datang pada suatu masa yang tidak kamu sangka.’
41Petrus bertanya, ‘Junjungan, adakah Engkau beritahu ibarat ini kepada kami atau kepada semua orang?’
42Junjungan menjawab, ‘Siapakah hamba yang setia dan bijak? Dialah yang dipertanggungjawabkan oleh tuannya untuk mengurus rumahtangganya dan memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktunya.
43Diberkatilah hamba yang didapati oleh tuannya sedang berbuat demikian apabila tuannya pulang.
44Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa tuan itu akan mempertanggungjawabkan hamba tersebut sebagai pengurus segala hartanya.
45Tetapi jikalau hamba itu berfikir dalam hatinya, “Tuan aku pulang lewat,” lalu dia mula memukul hamba-hamba yang lain baik lelaki ataupun perempuan dan makan minum sehingga mabuk,
46maka tuannya akan pulang pada hari yang tidak disangka-sangkanya serta pada waktu yang tidak diketahuinya. Tuan itu akan membuangnya dan menempatkannya bersama orang yang tidak percaya.
47‘Seorang hamba yang mengetahui kehendak tuannya tetapi tidak bersedia serta tidak melakukannya, akan disebat dengan teruk.
48Tetapi hamba yang tidak mengetahui kehendak tuannya, sekalipun melakukan perkara yang patut dihukum sebat, akan dihukum dengan ringan sahaja. Kerana sesiapa yang diberikan banyak, banyak pula akan dituntut daripadanya. Semakin banyak yang diamanahkan kepada seseorang, semakin banyak pula yang akan dituntut daripadanya.
49‘Aku datang untuk melontarkan api ke bumi dan betapa inginnya Aku api itu telah menyala!
50Aku harus mengalami suatu pengimadan dan betapa resahnya hati-Ku selagi perkara itu belum selesai.
51Adakah pada sangkaanmu, Aku datang untuk membawa kedamaian di dunia? Aku berkata kepadamu, bukan kedamaian melainkan perpecahan!
52Mulai sekarang, lima orang dalam sebuah keluarga akan berpecah, tiga melawan dua dan dua melawan tiga.
53Bapa melawan anak lelakinya dan anak lelaki melawan bapanya, ibu melawan anak perempuannya dan anak perempuan melawan ibunya, ibu mertua melawan menantu perempuannya serta menantu perempuan melawan ibu mertuanya.’
54Isa berkata kepada orang ramai itu, ‘Apabila kamu melihat awan naik dari barat, kamu akan berkata, “Hari mahu hujan,” dan begitulah berlakunya.
55Apabila kamu melihat adanya angin selatan bertiup, kamu berkata, “Hari akan panas terik,” dan begitulah berlakunya.
56Hai munafik! Kamu tahu mentafsir cuaca dengan melihat alamat di langit dan bumi, tetapi mengapakah kamu tidak memahami alamat-alamat zaman ini?
57‘Mengapakah kamu sendiri tidak dapat menentukan apa yang benar?
58Apabila engkau berjalan menuju ke mahkamah bersama orang yang mendakwamu, berusahalah untuk menyelesaikan perkara itu dalam perjalanan agar dia tidak mengheretmu ke hadapan hakim dan hakim akan menyerahkanmu kepada pegawai polis yang akan memasukkanmu ke dalam penjara.
59Aku berkata kepadamu bahawa engkau tidak dapat keluar dari situ sehingga engkau membayar seluruh dendamu.’

Read Lukas 12Lukas 12
Compare Lukas 12:18-59Lukas 12:18-59