Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Lukas - Lukas 11

Lukas 11:19-52

Help us?
Click on verse(s) to share them!
19Tetapi jikalau Aku mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu mengusir roh-roh iblis? Maka pengikut-pengikutmu sendiri akan menghakimi kamu!
20Tetapi jika Aku mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Allah, maka ini menunjukkan bahawa kerajaan Allah telah datang kepada kamu.
21‘Apabila seorang yang gagah dan bersenjata lengkap mengawal rumahnya, harta bendanya selamat;
22tetapi apabila seorang yang lebih gagah menyerang dan mengalahkannya, yang lebih gagah itu akan merampas segala senjata yang diperlukan oleh tuan rumah itu lalu membahagikan harta yang dirampasnya.
23‘Orang yang tidak berpihak kepada Aku menentang Aku; dan orang yang tidak bersama Aku bercerai-berai.
24‘Apabila roh durjana keluar daripada seseorang, roh itu mengembara di tempat yang kering untuk mencari tempat berehat. Jika tempat itu tidak dapat dicari, roh itu berkata, “Aku akan pulang ke tempat kediamanku yang lama.”
25Roh itu kembali dan mendapati tempat kediamannya itu bersih dan kemas.
26Kemudian dia pergi membawa tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya lalu mereka tinggal di situ. Keadaan orang itu pada akhirnya lebih teruk daripada dahulu.’
27Setelah Isa berkata demikian, seorang perempuan antara orang ramai itu berkata, ‘Diberkatilah perempuan yang melahirkan dan menyusui Engkau.’
28Tetapi Isa berkata, ‘Bahkan lebih diberkati lagi orang yang mendengar firman Allah dan mematuhinya.’
29Semasa orang ramai mengerumuni Isa, Dia berkata, ‘Betapa durjananya orang zaman ini! Mereka meminta mukjizat dilakukan sebagai alamat daripada Allah tetapi alamat tidak akan diberi kecuali alamat Nabi Yunus
30kerana seperti Yunus telah menjadi alamat kepada orang Niniwe, demikian juga Putera Insan menjadi alamat kepada orang zaman ini.
31Pada hari pengadilan ratu negeri Selatan akan bangkit dan mencela mereka kerana ratu itu telah datang dari hujung bumi untuk mendengar pengajaran Sulaiman yang bijak, dan di sini ada seorang yang lebih besar daripada Sulaiman.
32Orang Niniwe akan bangkit pada hari pengadilan dan mencela orang zaman ini kerana orang Niniwe itu telah bertaubat daripada dosa mereka apabila mendengar khutbah Yunus; dan di sini ada seorang yang lebih besar daripada Yunus.
33‘Tiada seorang pun yang memasang pelita lalu meletakkannya di tempat yang tersembunyi atau di bawah pasu. Sebaliknya, dia meletakkannya di atas kaki pelita supaya orang yang masuk dapat melihat cahayanya.
34Matamu ialah pelita bagi tubuhmu. Jikalau matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu pun menjadi gelap.
35Oleh itu, berjaga-jagalah supaya cahaya dalammu itu tidak menjadi gelap.
36Jikalau seluruh tubuhmu itu terang tanpa sebarang bahagian yang gelap, seluruh tubuhmu akan terang-benderang seperti sebuah pelita menerangi kamu dengan cahayanya.’
37Setelah Isa habis bercakap, seorang Farisi menjemput Dia makan di rumahnya. Isa pun pergi lalu bertelekan di meja.
38Orang Farisi itu kehairanan apabila melihat Isa tidak membasuh tangan-Nya sebelum makan.
39Oleh itu Junjungan berkata kepadanya, ‘Kamu orang Farisi mencuci bahagian luar pinggan mangkuk, tetapi kamu penuh dengan ketamakan dan kezaliman dalam hatimu.
40Hai orang yang bodoh! Bukankah Dia yang menjadikan bahagian luar juga menjadikan bahagian dalam?
41Berikanlah makanan yang ada di dalam pinggan mangkuk itu kepada orang miskin dan segala-galanya akan menjadi bersih bagimu.
42‘Malangnya kamu, orang Farisi! Kamu membayar sepersepuluh daripada selasih, inggu dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan dan kasih kepada Allah. Kamu haruslah membayar sepersepuluh itu tanpa mengabaikan perkara-perkara yang lebih penting.
43‘Malangnya kamu orang Farisi! Kamu suka duduk di kerusi khas di saumaah-saumaah dan diberi salam dengan hormatnya di pasar-pasar.
44‘Malangnya kamu! Kamu umpama kubur-kubur yang tidak bernisan, yang dipijak-pijak tanpa disedari oleh orang yang berjalan di atasnya.’
45Seorang daripada guru Taurat berkata kepada Isa, ‘Guru menghina kami juga apabila Guru berkata sedemikian.’
46Isa berkata, ‘Malangnya kamu guru-guru Taurat, kerana kamu meletakkan beban yang berat ke atas bahu orang lain, tetapi kamu sendiri tidak menghulurkan satu jari pun untuk menolong mereka memikul beban itu.
47‘Malangnya kamu! Kamu membina makam untuk nabi-nabi yang telah dibunuh oleh nenek moyangmu.
48Oleh itu, kamu menyetujui perbuatan nenek moyangmu itu; kerana mereka telah membunuh nabi-nabi itu tetapi kamu membina makam mereka pula.
49Dengan itu, kebijaksanaan Allah telah mengatakan, “Aku mengutus nabi-nabi dan rasul-rasul kepada mereka, yang sesetengahnya akan dibunuh atau dianiayai oleh mereka.”
50Jadi, orang zaman ini akan dihukum atas pembunuhan semua nabi sejak dunia dicipta,
51iaitu, dari pembunuhan Habil hingga pembunuhan Zekaria di antara tempat persembahan korban dengan rumah ibadat. Ya, Aku berkata kepadamu bahawa orang zaman ini akan dihukum atas pembunuhan semua nabi itu.
52‘Malangnya kamu, ahli-ahli Taurat! Kunci ilmu telah kamu ambil; kamu sendiri tidak mahu masuk tetapi kamu menghalang orang yang cuba hendak masuk.’

Read Lukas 11Lukas 11
Compare Lukas 11:19-52Lukas 11:19-52