Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Kisah Para Rasul - Kisah Para Rasul 9

Kisah Para Rasul 9:2-34

Help us?
Click on verse(s) to share them!
2dan meminta surat untuk ditunjukkan kepada saumaah di Damsyik, supaya sekiranya dia menjumpai sesiapa yang mengikut Jalan Isa, baik lelaki mahupun perempuan, dia boleh memberkas dan membawa mereka ke Baitulmaqdis.
3Dalam perjalanannya, apabila dia hampir sampai di Damsyik, tiba-tiba cahaya dari langit bersinar sekelilingnya.
4Dia rebah ke bumi lalu mendengar suara berkata, ‘Saul, Saul, mengapa kauaniaya Aku?’
5Saul bertanya, ‘Siapakah Engkau, Tuan?’ Suara itu menjawab, ‘Akulah Isa yang kauaniaya.
6Bangkitlah, masuklah ke kota. Di sana engkau akan diberitahu apa yang harus kaubuat.’
7Orang seperjalanan Saul terpegun kerana mendengar suara itu tanpa melihat sesiapapun.
8Saul bangkit sambil membuka mata tetapi tidak dapat melihat suatu apa. Oleh demikian mereka memegang tangannya dan memimpinnya masuk ke Damsyik.
9Selama tiga hari dia tidak dapat melihat dan tidak makan atau minum.
10Ada seorang pengikut Isa yang bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam suatu penglihatan dia mendengar Junjungan berkata, ‘Ananias!’ ‘Ya, Junjungan,’ sahut Ananias.
11Junjungan berkata kepadanya, ‘Bersiaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Tanyakanlah seorang yang bernama Saul dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa,
12dan melihat seorang bernama Ananias meletakkan tangan di atasnya supaya dia dapat melihat semula.’
13Ananias menjawab, ‘Ya Junjunganku, aku telah mendengar ramai orang mengatakan hal orang itu. Dia telah banyak menganiaya umat-Mu yang salih di Baitulmaqdis.
14Sekarang dia datang ke Damsyik membawa kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyebut nama-Mu.’
15Namun, Junjungan berkata, ‘Pergilah, kerana Aku telah memilihnya sebagai alat pilihan-Ku untuk mengkhabarkan nama-Ku kepada bangsa-bangsa asing, raja-raja, dan umat Israel.
16Aku akan menunjukkan kepadanya segala kesengsaraan yang akan ditanggungnya kerana-Ku.’
17Dengan demikian Ananias pun pergi lalu masuk ke rumah itu dan meletakkan tangannya ke atas Saul sambil berkata, ‘Saudaraku Saul, Junjungan telah mengutusku. Isa yang menampakkan diri-Nya kepadamu dalam perjalanan ke sini telah mengutusku supaya engkau dapat melihat semula dan dipenuhi Roh Suci.’
18Serta-merta sesuatu seperti sisik gugur daripada mata Saul dan dia dapat melihat semula. Dia pun bangun lalu diimadkan.
19Kemudian dia makan dan kekuatannya pun pulih. Saul tinggal beberapa hari di Damsyik bersama para pengikut Isa.
20Dia terus mengkhabarkan di saumaah-saumaah tentang Isa, bahawa Dia Putera Allah.
21Semua yang mendengarnya tercengang lalu berkata, ‘Bukankah dia ini yang menganiaya semua yang menyebut nama itu di Baitulmaqdis? Malah dia datang ke mari untuk menangkap semua orang yang demikian di sini dan menyeret mereka ke hadapan ketua-ketua imam.’
22Makin sehari makin bertambah kuasa yang diberi Allah kepada Saul. Semua orang Yahudi di Damsyik tercengang apabila dia menyatakan bahawa Isa itu al-Masih.
23Selepas beberapa hari, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Saul
24tetapi dia mendapat tahu tentang pakatan itu. Orang yang hendak membunuhnya itu menunggu di pintu gerbang siang malam;
25tetapi pengikut-pengikut Saul mengambilnya pada waktu malam dan menurunkannya melalui tingkap ke kaki tembok di dalam sebuah keranjang.
26Apabila Saul sampai di Baitulmaqdis, dia cuba menghubungi para pengikut Isa tetapi mereka takut dan tidak percaya bahawa dia benar-benar pengikut Isa.
27Barnabas membawa Saul ke hadapan para rasul dan menceritakan bagaimana dia telah melihat Junjungan ketika dalam perjalanan, kata-kata Junjungan kepadanya dan keberanian Saul menyebarkan nama Isa di Damsyik.
28Selepas itu Saul keluar masuk di Baitulmaqdis bersama para rasul
29serta menyebarkan nama Junjungan dengan berani. Dia bercakap dan berhujah dengan orang Yahudi peranakan Yunani; mereka pun hendak membunuhnya.
30Apabila para pengikut Isa yang lain mengetahui hal itu, mereka membawa Saul ke Kaisarea dan menghantarnya ke Tarsus.
31Dengan demikian sejahteralah jemaah di seluruh tanah Yudea, Galilea dan Samaria. Jemaah itu diberi kekuatan dan hidup bertakwa kepada Allah. Dengan pertolongan Roh Suci bilangan mereka semakin besar.
32Ketika Petrus melawat daerah-daerah, dia mengunjungi orang salih yang tinggal di Lida.
33Di situ dia menemui seorang bernama Eneas yang sudah lapan tahun lumpuh terlantar di tempat tidur.
34Petrus berkata kepadanya, ‘Eneas, Isa al-Masih menyembuhkanmu. Bangunlah, kemaskan tempat tidurmu.’ Pada saat itu juga Eneas bangun.

Read Kisah Para Rasul 9Kisah Para Rasul 9
Compare Kisah Para Rasul 9:2-34Kisah Para Rasul 9:2-34