Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Kisah Para Rasul - Kisah Para Rasul 28

Kisah Para Rasul 28:4-20

Help us?
Click on verse(s) to share them!
4Apabila penduduk pulau itu melihat ular tersebut pada tangan Paulus, mereka berkata sama sendiri, ‘Tentu dia ini seorang pembunuh; sungguhpun dia selamat daripada bahaya laut, tetapi Dewi Keadilan tidak membiarkan dia hidup.’
5Paulus mengebaskan ular itu ke dalam api tanpa mengalami sebarang kecederaan.
6Semuanya menantikan kalau-kalau dia naik bengkak atau rebah mati; tetapi lama mereka menanti-nanti, tidak juga mereka melihat apa-apa bencana menimpanya. Sangkaan mereka pun berubah, mengatakan Paulus itu seorang dewa.
7Di daerah itu ada tanah yang dipunyai oleh Publius, pemerintah pulau itu. Dia menyambut kami dan melayani kami selama tiga hari dengan budi bahasa yang baik.
8Ketika itu bapa Publius terlantar mengidap demam dan mengalami cirit-birit. Paulus masuk menghampirinya lalu berdoa sambil meletakkan tangan ke atasnya dan menyembuhkannya.
9Selepas itu, beberapa orang yang mengidap penyakit di pulau itu datang berjumpa Paulus, lalu dia menyembuhkan mereka.
10Mereka menunjukkan penghargaan yang tinggi kepada kami; dan apabila kami hendak belayar, mereka membawa pelbagai barang yang berguna ke dalam kapal sebagai bekalan untuk kami.
11Tiga bulan kemudian, kami belayar dalam sebuah kapal bernama Dioskuri yang telah datang dari Iskandaria dan tinggal di pulau itu sepanjang musim dingin.
12Kami singgah di Sirakusa lalu tinggal di sana tiga hari,
13kemudian belayar ke kota Regium. Esoknya angin mula bertiup dari selatan dan lusanya kami sampai ke Putioli.
14Di sana kami bertemu saudara-saudara seiman lalu menerima ajakan tinggal bersama mereka selama tujuh hari. Kemudian sampailah kami ke Rom.
15Para pengikut Isa di Rom mendengar khabar tentang kami lalu datang dari sana sampai ke Pasar Apius dan Kedai Tiga untuk bertemu dengan kami. Apabila Paulus melihat mereka, dia mengucapkan syukur kepada Allah dan menjadi tabah.
16Di Rom Paulus dibenarkan tinggal seorang diri, hanya dijaga oleh seorang askar.
17Tiga hari kemudian, Paulus meminta para pemimpin masyarakat Yahudi datang berjumpa dengannya. Dia berkata kepada mereka, ‘Saudara-saudara, sungguhpun aku tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap bangsa kita atau melanggar adat nenek moyang kita, namun aku ditahan di Baitulmaqdis lalu diserahkan ke tangan orang Rom.
18Mereka memeriksa perkaraku dan hendak membebaskanku kerana mereka mendapati aku tidak melakukan satu kesalahan pun yang patut dihukum mati.
19Apabila orang Yahudi menentang keputusan itu, terpaksalah aku meminta hendak mengadu kepada Kaisar; tetapi bukanlah kerana hendak mengajukan apa-apa dakwaan terhadap bangsa kita.
20Itulah sebabnya aku meminta saudara-saudara bertemu dan bercakap dengan aku. Aku dibelenggu begini kerana Dia yang diharapkan oleh orang Israel.’

Read Kisah Para Rasul 28Kisah Para Rasul 28
Compare Kisah Para Rasul 28:4-20Kisah Para Rasul 28:4-20