Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Kisah Para Rasul - Kisah Para Rasul 21

Kisah Para Rasul 21:14-33

Help us?
Click on verse(s) to share them!
14Oleh sebab dia tidak mahu mendengar kata kami, kami pun berhenti memujuknya lalu berkata, ‘Berlakulah kehendak Tuhan.’
15Selepas itu kami berkemas lalu pergi ke Baitulmaqdis.
16Beberapa orang pengikut Isa dari Kaisarea menyertai kami lalu membawa kami berjumpa Menason, orang Siprus, yang sudah lama percaya akan Isa; di rumahnyalah kami menumpang.
17Setelah sampai di Baitulmaqdis, kami disambut oleh saudara-saudara seiman dengan sukacita.
18Pada esoknya Paulus bersama kami masuk berjumpa dengan Yakobus; ketua-ketua yang lain pun ada di situ.
19Setelah memberi salam kepada mereka, Paulus menceritakan segala yang telah dilakukannya secara terperinci di kalangan bangsa asing dengan kehendak Allah.
20Apabila mendengar kisah itu mereka memuji Allah dan berkata kepada Paulus, ‘Saudara, sebagaimana kamu lihat, ada berpuluh ribu orang Yahudi yang sudah percaya akan Isa dan mereka itu berpegang teguh kepada Taurat.
21Ada orang memberitahu mereka bahawa kamu mengajar orang Yahudi yang tinggal di kalangan orang bangsa asing supaya berpaling daripada Musa, jangan menyunatkan anak-anak dan jangan menurut adat orang Yahudi.
22Sekarang bagaimana? Mereka tentu mendengar berita kedatanganmu ke sini.
23Oleh itu, ikutlah seperti kata kami. Di antara kami ada empat orang yang telah bernazar.
24Bawalah mereka bersamamu dan sucikan dirimu bersama mereka serta tanggung belanja mencukur kepala mereka. Dengan demikian semua orang akan tahu bahawa apa yang dikatakan tentangmu itu tidak benar, sebaliknya kamu mengikut Taurat.
25Namun, tentang orang bangsa asing yang percaya akan Isa, kami telah berkirim surat memberikan hukum bahawa mereka hendaklah memeliharakan diri daripada makanan yang dipersembahkan kepada berhala, daripada darah dan binatang yang mati dicekik, dan daripada zina.’
26Paulus pun membawa empat orang itu bersamanya dan pada esoknya dia menyucikan diri bersama mereka. Kemudian dia masuk ke rumah ibadat dan memberitahu orang di situ bilangan harinya upacara penyucian itu akan selesai dan korban akan dipersembahkan bagi setiap mereka.
27Apabila hampir genap tujuh hari, beberapa orang Yahudi dari Asia terpandang Paulus di dalam rumah ibadat. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus
28sambil berseru, ‘Hai orang Israel, marilah tolong kami! Inilah dia orang yang menyebarkan merata-rata ajaran yang menghina kaum kita, Taurat dan rumah ibadat. Dia juga telah membawa orang Yunani ke dalam rumah ibadat, menajiskan tempat suci ini.’
29Mereka berkata begitu kerana pernah melihat Trofimus orang Efesus bersama Paulus di kota itu lalu mereka menyangka bahawa Paulus telah membawanya ke dalam rumah ibadat.
30Ini menggemparkan semua orang Yahudi di kota itu lalu mereka berlari dan berhimpun mengerumuni Paulus. Mereka menangkapnya dan menyeretnya ke luar rumah ibadat. Semua pintu rumah ibadat pun segera ditutup.
31Ketika mereka hendak membunuhnya, ketua pasukan tentera Rom mendengar bahawa seisi kota Baitulmaqdis sedang merusuh.
32Dia segera membawa beberapa orang ketua tentera dan askar-askar untuk mendapatkan perusuh-perusuh itu. Apabila melihat mereka datang, perusuh-perusuh itu berhenti memukul Paulus.
33Ketua pasukan tentera itu datang menangkap Paulus, disuruhnya ikat dengan dua rantai. Dia bertanya siapakah itu dan apakah yang telah dilakukannya.

Read Kisah Para Rasul 21Kisah Para Rasul 21
Compare Kisah Para Rasul 21:14-33Kisah Para Rasul 21:14-33