Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Kisah Para Rasul - Kisah Para Rasul 20

Kisah Para Rasul 20:18-38

Help us?
Click on verse(s) to share them!
18Apabila mereka datang menemuinya, Paulus berkata, ‘Kamu semua tahu cara hidupku sejak aku bersamamu, dari hari pertama aku datang ke Asia.
19Aku telah memperhambakan diri kepada Tuhan dengan sehabis-habis rendah hati dan dengan air mata. Sudah beberapa cubaan menimpa diriku akibat pakatan orang Yahudi.
20Aku tidak pernah menyembunyikan daripadamu sesuatu yang berfaedah kepadamu. Aku menyatakan segalanya kepadamu dan mengajarmu di khalayak ramai mahupun di rumah masing-masing,
21sambil memberikan kesaksian kepada orang Yahudi dan orang Yunani tentang pertaubatan kepada Allah dan iman akan Junjungan Isa.
22‘Sekarang aku pergi ke Baitulmaqdis mentaati perintah Roh Suci sedangkan aku tidak tahu apa yang akan berlaku kepadaku.
23Yang kuketahui hanyalah ini: Dari kota ke kota Roh Suci telah memberikan kesaksian kepadaku dan berkata bahawa penjara dan penderitaan ada lagi menantikan aku.
24Tetapi sekali-kali aku tidak mengindahkan soal nyawaku, asalkan aku dapat menyempurnakan tanggungjawab dan tugas yang kuterima daripada Junjungan Isa iaitu memberikan kesaksian akan berita baik tentang kasih kurnia Allah.
25‘Sekarang ingatlah. Aku tahu bahawa kamu tidak akan memandang mukaku lagi, setelah sekian lama aku bersamamu dan mengajarmu tentang kerajaan Allah.
26Oleh itu pada hari ini aku bersaksi bahawa aku tidak bersalah terhadap penumpahan darah manusia.
27Aku telah menyatakan kepadamu seluruh kehendak Allah dengan sepenuh kerelaan.
28Jagalah dirimu dan semua orang yang telah diamanahkan oleh Roh Suci kepada kamu untuk memeliharanya seperti gembala memelihara domba, iaitu jemaah Tuhan yang telah ditebus-Nya dengan darah-Nya sendiri.
29Aku tahu bahawa sepeninggalanku nanti, beberapa serigala garang akan masuk menyerang jemaah ini;
30malah dari antara kamu sendiri akan bangkit beberapa orang yang memesongkan ajaran yang benar dan berusaha menarik ahli-ahli jemaah mengikut mereka.
31Oleh itu berjaga-jagalah, serta ingatlah bagaimana selama tiga tahun aku tidak berhenti-henti siang malam menasihatkan setiap orang dengan air mataku.
32‘Sekarang aku menyerahkan kamu kepada Allah dan kepada perkhabaran tentang kasih kurnia Allah, yang berkuasa meneguhkan imanmu dan memberimu warisan yang diperuntukkan bagi seluruh umat Allah.
33Aku tidak pernah ingin memiliki emas perak atau pakaian orang.
34Kamu tahu bahawa kedua belah tanganku ini telah bekerja untuk mencukupkan sara hidupku dan orang yang bersamaku.
35Dalam semua perkara aku telah menunjukkan teladan kepadamu iaitu bagaimana kamu juga patut bekerja demikian untuk menolong orang yang lemah; dan ingatlah firman Junjungan Isa, “Memberi itu lebih berkatnya daripada menerima.” ’
36Setelah berkata demikian, Paulus berlutut dan berdoa-doa bersama semua yang hadir.
37Semuanya menangis seraya memeluk dan mencium Paulus.
38Mereka berdukacita terutamanya kerana dia berkata bahawa mereka tidak akan memandang mukanya lagi. Kemudian mereka menghantarkannya ke kapal.

Read Kisah Para Rasul 20Kisah Para Rasul 20
Compare Kisah Para Rasul 20:18-38Kisah Para Rasul 20:18-38