Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Kisah Para Rasul - Kisah Para Rasul 19

Kisah Para Rasul 19:16-39

Help us?
Click on verse(s) to share them!
16Lalu orang yang dirasuk roh durjana itu menerkam dan mengerjakan mereka. Mereka pun lari dari dalam rumah itu dalam keadaan telanjang dan luka.
17Berita itu tersebar di kalangan orang Yahudi mahupun Yunani di Efesus; mereka ketakutan lalu nama Junjungan Isa semakin dimuliakan.
18Ramai orang yang mempercayai Isa datang sambil mengakui segala perbuatan jahat mereka yang lalu.
19Beberapa orang yang mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan semua buku sihirnya dan membakarnya di hadapan orang ramai. Semua buku sihir itu dianggar nilainya kira-kira lima puluh ribu keping wang perak.
20Demikianlah, firman Tuhan tersebar luas dan semakin berkuasa.
21Setelah selesai peristiwa itu, Paulus berniat dalam hatinya hendak menjelajahi Makedonia dan Akhaya dan kemudian ke Baitulmaqdis. Dia berkata, ‘Selepas itu, aku mesti pergi ke Rom pula.’
22Dia pun menyuruh Timotius dan Erastus, dua orang daripada pembantu-pembantunya, pergi dahulu ke Makedonia, manakala dia tinggal lebih lama di Asia.
23Pada masa itu berlaku huru-hara di Efesus kerana ajaran tentang Jalan Tuhan.
24Seorang tukang perak bernama Demetrius membuat balai-balai berhala Dewi Artemis daripada perak. Pekerjaan ini membawa hasil lumayan kepada pekerja-pekerjanya.
25Dia menghimpunkan para pekerja serta tukang-tukang yang sama mata pencariannya lalu berkata, ‘Saudara-saudara sekalian tahu bahawa daripada pekerjaan inilah kita mendapat keuntungan.
26Saudara-saudara juga melihat dan mendengar bahawa di Efesus ini malah hampir di seluruh Asia, Paulus itu telah mempengaruhi ramai orang dengan berkata bahawa barang yang diperbuat oleh manusia bukannya dewa.
27Dengan demikian, apa yang dikhuatiri bukan saja mata pencarian kita ini dihina, bahkan rumah Artemis, dewi yang besar itu pun tidak akan diindahkan lagi, lalu hilanglah kebesaran dewi yang disembah orang di seluruh Asia malah di serata dunia.’
28Setelah mendengar kata-kata itu, semua yang hadir naik berang dan berseru, ‘Maha besar Artemis, dewi orang Efesus!’
29Dengan demikian orang ramai merusuh di kota itu. Mereka menangkap Gayus dan Aristarkhus, orang Makedonia yang menemani Paulus dalam perjalanannya, lalu menyeret mereka ke stadium kota itu.
30Paulus hendak pergi bercakap kepada orang ramai tetapi para pengikut Isa tidak membenarkannya.
31Beberapa orang pegawai kerajaan yang bersahabat dengan Paulus berpesan kepadanya supaya jangan masuk ke stadium itu.
32Orang yang berkumpul di situ berseru-seru, sesetengah berkata begini dan sesetengah begitu; kerana semuanya dalam keadaan kelam-kabut dan sebilangan besar daripada mereka tidak tahu mengapa mereka berhimpun.
33Orang Yahudi menolak Iskandar ke hadapan untuk menghadapi orang ramai. Iskandar memberikan isyarat dengan tangannya kerana dia hendak menjelaskan segalanya kepada mereka.
34Akan tetapi apabila mereka mengenalinya sebagai orang Yahudi, semuanya berseru serentak selama kira-kira dua jam, ‘Maha besar Artemis, dewi orang Efesus!’
35Ketika itu setiausaha kota menyuruh mereka diam lalu berkata, ‘Hai orang Efesus, siapa yang tidak tahu bahawa orang kota Efesuslah yang memelihara kuil dewi besar Artemis dan patung sucinya yang turun dari langit?
36Ini tidak dapat dinafikan. Oleh itu kamu patut bertenang dan jangan bertindak gopoh-gapah.
37Kedua-dua orang ini tidak merampas harta tempat berhala dan tidak pula menghina dewi kita, tetapi kamu membawa mereka ke mari.
38Jika Demetrius dan tukang-tukang yang menyertainya itu ada sesuatu yang hendak diadukan tentang sesiapa, kita mempunyai mahkamah perbicaraan dan hakim; hendaklah mereka mendakwa orang berkenaan di mahkamah.
39Jika kamu menuntut perkara lain, hendaklah diselesaikan dalam majlis yang berpatutan.

Read Kisah Para Rasul 19Kisah Para Rasul 19
Compare Kisah Para Rasul 19:16-39Kisah Para Rasul 19:16-39