Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Kisah Para Rasul - Kisah Para Rasul 17

Kisah Para Rasul 17:17-32

Help us?
Click on verse(s) to share them!
17Oleh itu, dia berhujah di saumaah dengan orang Yahudi dan orang Yunani yang taat akan Allah; dan di medan kota juga dia berbincang dengan siapa sahaja yang ditemuinya.
18Beberapa orang yang berpegang kepada ajaran Epikuros dan Stoa berhujah dengannya. Ada yang berkata, ‘Apa yang dibebelkannya itu?’ Yang lain berkata, ‘Nampaknya orang ini menyebarkan berita tentang dewa-dewa orang bangsa asing.’ Demikianlah kata mereka kerana Paulus menyebarkan berita baik tentang Isa dan kebangkitan daripada kematian.
19Mereka membawanya ke Areopagus sambil berkata, ‘Bolehkah kami mengetahui apakah ajaran baru yang kamu katakan ini?
20Kamu menyampaikan ke telinga kami perkara-perkara yang aneh; oleh itu kami hendak mengetahui ertinya segala perkara ini.’
21(Semua orang Atena dan orang asing di situ asyik sekali membincangkan atau mendengar tentang perkara-perkara terbaru).
22Paulus berdiri di tengah Areopagus itu lalu berkata, ‘Saudara-saudara orang Atena, aku lihat dalam semua hal saudara-saudara sentiasa ingat menyembah tuhan.
23Sedang aku berjalan-jalan sambil memerhatikan apa yang saudara-saudara sembah, di suatu tempat aku dapati suatu tempat korban yang ditulis begini: “Kepada Tuhan yang tidak diketahui.” Tuhan yang saudara-saudara sembah tanpa mengetahui-Nya itulah yang hendak aku nyatakan kepada saudara-saudara.
24‘Allah yang menjadikan dunia dengan segala isinya serta memerintah langit dan bumi tidak tinggal di tempat sembahyang buatan manusia,
25dan tidak dilayani oleh manusia kerana Dia tidak kekurangan apa-apa. Malah Dialah yang memberi manusia hidup dan nafas serta segala-galanya.
26Daripada seorang manusia Dia menjadikan semua bangsa manusia yang menduduki seluruh muka bumi; Dia juga menetapkan masa dan tempat mereka hidup.
27Masing-masing diharap mencari Tuhan, mudah-mudahan mereka menemui-Nya. Dia tidaklah jauh daripada kita.
28“Kerana-Nya kita bergerak serta ada di dunia ini.” Sebagaimana kata penyair bangsamu, “Kita adalah anak-Nya.”
29‘Oleh sebab kita anak-Nya, tidak patut kita sangka Dia serupa dengan emas, perak atau batu yang diukir dengan kepandaian dan akal manusia.
30Allah membiarkan manusia melalui zaman kejahilan itu; tetapi sekarang Dia menyuruh manusia di seluruh dunia ini bertaubat;
31kerana Dia telah menetapkan bahawa pada suatu hari seisi dunia ini akan dihakimkan dengan adil oleh seorang yang ditentukan-Nya. Allah bersaksi akan hal ini kepada semua manusia dengan membangkitkan-Nya daripada kematian.’
32Apabila mendengar ‘membangkitkan-Nya daripada kematian’, ada yang mengejek-ejek; tetapi ada yang berkata, ‘Kami mahu mendengar lagi kamu bercakap tentang perkara itu.’

Read Kisah Para Rasul 17Kisah Para Rasul 17
Compare Kisah Para Rasul 17:17-32Kisah Para Rasul 17:17-32