Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Kisah Para Rasul - Kisah Para Rasul 16

Kisah Para Rasul 16:5-21

Help us?
Click on verse(s) to share them!
5Dengan demikian setiap jemaah semakin teguh imannya dan setiap hari bilangan mereka meningkat.
6Mereka menjelajahi pula Frigia dan Galatia, kerana Roh Suci melarang mereka menyampaikan firman Allah di Asia.
7Setelah sampai di sempadan Misia, mereka mencuba masuk ke Bitinia, tetapi dilarang oleh Roh Isa.
8Oleh itu mereka terus ke Troas melalui Misia.
9Pada malam itu Paulus mendapat suatu penglihatan: seorang Makedonia berdiri di hadapannya sambil memohon, ‘Marilah ke Makedonia menolong kami.’
10Setelah Paulus melihat penglihatan itu, kami pun hendak segera bertolak ke Makedonia, kerana pada hemat kami Allah memerintahkan kami menyampaikan berita baik kepada orang di situ.
11Oleh yang demikian, kami belayar dari Troas terus ke Samotrake dan esoknya ke Neapolis;
12dan dari situ ke Filipi, sebuah kota di Makedonia, yang termasuk jajahan Empayar Rom; kami tinggal beberapa hari di situ.
13Pada hari Sabat kami pergi ke luar pintu gerbang kota ke tepi sungai, kerana di situ kami jangka ada tempat orang berdoa. Kami duduk bercakap dengan perempuan yang berhimpun di situ.
14Salah seorang yang mendengar kami bercakap ialah seorang perempuan bernama Lidia, yang berjual kain ungu dan berasal dari Tiatira. Dia penyembah Allah. Tuhan membukakan hatinya lalu dia menerima segala yang dikatakan oleh Paulus.
15Setelah dia dan seisi rumahnya diimadkan, dia berkata, ‘Jika pada hemat kamu, aku ini benar-benar percaya akan Junjungan, marilah tinggal di rumahku.’ Demikian dia bersungguh-sungguh mengajak kami ke rumahnya.
16Di tempat orang berdoa itu juga ada seorang hamba perempuan yang dirasuk roh penilik; dia membawa keuntungan yang besar kepada tuan-tuannya dengan tilikannya itu.
17Hamba perempuan itu mengikut Paulus dan kami sambil berseru-seru, ‘Orang ini hamba Allah Yang Maha Tinggi; mereka memberitahu kamu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!’
18Demikianlah dilakukannya selama beberapa hari. Akhirnya Paulus gusar dan berpaling sambil berkata kepada roh itu, ‘Dengan nama Isa al-Masih aku perintahkan kamu keluar daripadanya!’ Roh itu pun keluar serta-merta.
19Apabila tuan-tuan budak perempuan itu sedar bahawa sumber keuntungan mereka telah dihapuskan, mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret mereka ke hadapan pihak berkuasa di medan kota.
20Mereka menghadapkan Paulus dan Silas kepada pegawai-pegawai kerajaan Rom dan berkata, ‘Mereka berdua ini membuat kacau di kota kita. Mereka orang Yahudi
21dan mereka menyebarkan ajaran yang tidak patut kita terima atau ikut kerana kita ini orang Rom.’

Read Kisah Para Rasul 16Kisah Para Rasul 16
Compare Kisah Para Rasul 16:5-21Kisah Para Rasul 16:5-21