Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Kisah Para Rasul - Kisah Para Rasul 13

Kisah Para Rasul 13:13-45

Help us?
Click on verse(s) to share them!
13Paulus dan rakan-rakannya belayar dari Pafos ke kota Perga di tanah Pamfilia. Dari situ Yahya meninggalkan mereka lalu pulang ke Baitulmaqdis.
14Yang lain meneruskan perjalanan dari Perga ke kota Antiokhia di Pisidia. Pada hari Sabat mereka masuk ke rumah ibadat lalu duduk di situ.
15Selepas pembacaan Taurat Musa dan Surah Nabi-nabi, ketua-ketua saumaah itu menghantar orang berkata kepada kedua-dua rasul itu, ‘Saudara-saudara, sekiranya ada sesuatu nasihat untuk menggalakkan orang di sini, silalah sampaikan.’
16Paulus bangkit, memberikan isyarat lalu berkata, ‘Saudara-saudara orang Israel dan sekalian yang taat kepada Allah, dengarlah!
17Allah, Tuhan umat Israel, telah memilih nenek moyang kita untuk dijadikan bangsa besar, ketika mereka tinggal menumpang di Mesir. Allah membawa mereka keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya.
18Selama empat puluh tahun di gurun, Dia bersabar dengan kelakuan mereka.
19Dia membinasakan tujuh bangsa di tanah Kanaan dan menjadikan kawasan itu kepunyaan umat-Nya.
20Segala ini berlaku selama 450 tahun. ‘Selepas itu Allah mengurniai mereka hakim-hakim sampai ke zaman Nabi Samuel.
21Kemudian mereka memohonkan seorang Raja lalu Allah memberi mereka Saul anak Kis daripada suku Benyamin sebagai raja mereka selama empat puluh tahun.
22Setelah Allah memecatnya daripada takhtanya, Allah memberi mereka Daud pula sebagai raja. Allah berfirman tentang Daud, “Aku mendapati Daud, anak Isai, seorang yang menyenangkan hati-Ku; dia akan melakukan segala yang Kuingini.”
23‘Dari keturunan Daud inilah Allah membangkitkan Isa, seorang Penyelamat bagi umat Israel sebagaimana telah dijanjikan-Nya.
24Sebelum Isa memulakan tugas-Nya, Yahya menyeru supaya semua orang Israel bertaubat daripada dosa dan diimadkan.
25Ketika tugas Yahya hampir selesai, dia berkata kepada orang ramai, “Siapakah aku ini pada sangkaanmu? Aku bukanlah Dia yang kamu nanti-nantikan itu. Dia akan datang kemudian, dan aku ini tidak layak membuka kasut-Nya pun.”
26‘Hai saudara-saudara keturunan Ibrahim, dan semua yang takut akan Allah! Kepada kitalah Allah telah menyampaikan berita penyelamatan itu.
27Penduduk Baitulmaqdis dan ketua-ketua mereka tidak sedar bahawa Penyelamat itu ialah Isa. Mereka tidak memahami ajaran nabi-nabi yang dibacakan setiap hari Sabat, maka mereka menghukum Isa. Dengan tindakan mereka itu, segala yang telah dinubuatkan oleh nabi-nabi menjadi kenyataan.
28Walaupun mereka tidak ada apa-apa asas untuk menjatuhkan hukuman bunuh kepada Isa, mereka mendesak Pilatus menjatuhkan hukuman itu ke atas-Nya.
29Setelah mereka melakukan segala yang tersurat di dalam Kitab Suci tentang-Nya, mereka menurunkan jenazah-Nya dari salib dan meletakkannya di dalam makam.
30Akan tetapi Allah membangkitkan-Nya daripada kematian.
31Selepas itu selama beberapa hari Dia menampakkan diri-Nya kepada mereka yang dahulu mengiringi-Nya dalam perjalanan dari Galilea ke Baitulmaqdis. Kini mereka itu menjadi saksi bagi-Nya kepada umat Israel.
32‘Dengan demikian kami datang ke sini untuk menyampaikan berita baik ini kepada kamu.
33Allah telah melaksanakan untuk kita apa yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kita, dengan membangkitkan Isa daripada kematian, sebagaimana yang tersurat di dalam Zabur bab dua: ‘ “Engkaulah Putera-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.”
34Allah telah membangkitkan-Nya daripada kematian. Dia tidak akan mati lagi. Tentang ini Allah berfirman: ‘ “Aku akan memberkati-Mu dengan berkat yang suci, sebagaimana telah Kujanjikan kepada Daud.”
35Dalam suatu ayat lagi firman-Nya: ‘ “Engkau tidak akan membiarkan Hamba-Mu yang setia itu reput di dalam kubur.”
36‘Daud melakukan suruhan Allah ketika dia hidup. Apabila dia wafat dia dimakamkan di sisi nenek moyangnya dan jasadnya reput.
37Namun, ini tidak terjadi kepada Dia yang dibangkitkan Allah daripada kematian.
38‘Oleh itu, ketahuilah saudara-saudara, melalui Isa berita pengampunan dosa disampaikan kepada saudara sekalian.
39Setiap orang yang percaya kepada-Nya diampunkan segala dosanya yang tidak dapat diampunkan melalui Taurat Musa.
40Berhati-hatilah, supaya apa yang telah disebutkan oleh nabi-nabi tidak menimpa saudara sekalian:
41‘ “Dengarlah hai orang yang menghina Allah! Kamu akan terkejut dan punah! Apa yang Kulakukan kini tidak akan kamu percayai, walaupun diterangkan kepadamu!” ’
42Apabila Paulus dan Barnabas hendak meninggalkan rumah ibadat itu, orang Yahudi meminta mereka datang lagi pada hari Sabat berikutnya untuk meneruskan penerangan mereka tentang hal-hal tersebut.
43Setelah bersurai perhimpunan di rumah ibadat itu, ramai orang Yahudi mahupun orang bangsa lain yang telah memeluk agama Yahudi mengikut Paulus dan Barnabas. Kedua-dua rasul itu menasihati mereka supaya sentiasa hidup berpegang teguh kepada kasih kurnia Allah.
44Pada hari Sabat berikutnya, hampir seluruh penduduk kota itu berhimpun mendengar firman Allah.
45Setelah dilihat oleh orang Yahudi betapa ramainya orang datang itu, timbullah hasad dengki dalam hati mereka lalu mereka membangkang kata-kata Paulus serta mencelanya.

Read Kisah Para Rasul 13Kisah Para Rasul 13
Compare Kisah Para Rasul 13:13-45Kisah Para Rasul 13:13-45