1Pada masa itu Raja Herodes pula turut menganiaya beberapa orang daripada jemaah.
2Yakobus saudara Yahya dibunuhnya dengan pedang.
3Apabila dilihatnya orang Yahudi sukacita dengan tindakannya, dia menangkap Petrus pula, pada Perayaan Roti Tidak Beragi.
4Dia memasukkan Petrus ke dalam penjara dan menyerahkannya kepada enam belas orang askar yang bertugas menjaganya bergilir-gilir, empat orang segiliran. Niatnya hendak membawa Petrus ke hadapan orang Yahudi selepas perayaan Paska.
5Sementara itu Petrus dikawal rapi di dalam penjara; tetapi jemaah berdoa dengan sungguh-sungguh kepada Allah untuknya.