Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Kisah Para Rasul - Kisah Para Rasul 10

Kisah Para Rasul 10:9-30

Help us?
Click on verse(s) to share them!
9Esoknya, ketika mereka dalam perjalanan dan hampir sampai ke Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah untuk berdoa, kira-kira pukul dua belas tengah hari.
10Kemudian dia berasa lapar dan hendak makan, tetapi sementara makanan sedang disediakan, dia diliputi kuasa ilahi.
11Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain yang amat lebar, terikat keempat-empat penjurunya, diturunkan ke arahnya lalu ke bumi.
12Di dalamnya ada segala jenis binatang, yang berkaki empat dan yang melata, juga burung-burung.
13Dia terdengar suara berkata, ‘Hai Petrus, bangunlah, sembelih dan makanlah.’
14Petrus berkata, ‘Ya Tuhan, jangan demikian, aku belum pernah makan barang yang haram atau najis.’
15Suara itu berkata pula kepadanya, ‘Barang yang dihalalkan oleh Allah, jangan kauharamkan.’
16Ini berulang tiga kali, kemudian kain itu terangkat naik ke langit.
17Sedang Petrus bertanya-tanya apa agaknya erti penglihatan itu, orang yang disuruhkan oleh Kornelius itu telah bertanyakan rumah Simon.
18Mereka berdiri di muka pintu sambil berseru bertanya sama ada Simon bergelar Petrus ada menumpang di situ.
19Petrus masih lagi memikirkan penglihatannya itu. Roh Suci berkata kepadanya, ‘Ada tiga orang mencarimu.
20Bangunlah, turun dan pergi bersama mereka tanpa ragu-ragu, kerana Aku yang menyuruh mereka datang.’
21Petrus pun turun mendapatkan orang itu lalu berkata, ‘Aku inilah orang yang kamu cari itu; apa hajatmu datang ke mari?’
22Mereka berkata, ‘Kornelius, seorang ketua tentera yang benar dan takut akan Allah serta disegani oleh seluruh bangsa Yahudi, telah menerima pesan Allah melalui malaikat yang suci bahawa dia hendaklah menjemput tuan datang ke rumahnya untuk mendengar apa yang akan tuan katakan.’
23Petrus mengajak ketiga-tiga orang itu masuk dan menumpang bermalam di rumah itu. Esoknya dia bangun lalu pergi bersama mereka; beberapa orang saudara seiman di Yope turut serta.
24Keesokan harinya mereka sampai di Kaisarea. Kornelius sedang menantikan kedatangan mereka, bersama semua kaum keluarga dan sahabat handai yang diajaknya berhimpun di situ.
25Apabila Petrus masuk, Kornelius mendapatkannya lalu sujud menyembah di kakinya;
26tetapi Petrus menariknya bangkit berdiri sambil berkata, ‘Bangkitlah; aku in pun seorang manusia juga.’
27Sambil bercakap dengan Kornelius, Petrus masuk ke dalam rumah itu dan melihat betapa ramainya orang yang berhimpun di situ.
28Petrus berkata kepada mereka, ‘Saudara-saudara sedia maklum bahawa orang Yahudi dilarang berhubung dengan orang bangsa lain atau mengunjungi mereka; tetapi Allah telah menyatakan kepadaku supaya jangan memandang sesiapapun sebagai haram atau najis.
29Oleh itu apabila aku dipanggil, aku terus datang tanpa teragak-agak. Sekarang aku bertanya kepadamu, apakah sebabnya aku dipanggil datang ke sini?’
30Kornelius berkata, ‘Empat hari lalu, kira-kira pukul tiga petang, aku sedang berdoa di rumah; tiba-tiba seorang berdiri di hadapanku, pakaiannya bersinar-sinar.

Read Kisah Para Rasul 10Kisah Para Rasul 10
Compare Kisah Para Rasul 10:9-30Kisah Para Rasul 10:9-30